Misi Bantuan Setia Negara

YB Dr Afif Penaung Pemuda Negara bersama Skuad Misi Bantuan dengan kerjasama Yayasan Setia Negara Malaysia telah turun ke negeri Johor bagi melaksanakan Misi Bantuan Setia Negara kepada mangsa banjir yang terjejas.

Saya bersama pasukan Pemuda Negara Negeri Selangor & Negeri Johor telah ke Kampung Laut Batu 10 yang merupakan salah satu lokasi yang terkesan teruk di daerah Johor Bahru. Dengan 70 orang sukarelawan yang turut serta ke misi ini, kami telah menjalankan pembersihan di enam buah rumah di kawasan kampung tersebut.

Salah satu rumah yang kami bersihkan telah mengalami kerosakan sepenuhnya yang mengakibatkan tiada lagi barang yang dapat diselamatkan berikutan kedudukan rumah berkenaan yang berhampiran dengan lembaran Sungai Skudai.

En Timin Adnan hidup sebatang kara di rumah usang ini kini berada di Hospital Sultanah Aminah bagi menerima rawatan penyakit lemah jantung& kencing manis yang dihidapi beliau. Kami juga telah menyampaikan sumbangan kelengkapan rumah kepada 58 keluarga hasil inisiatif Ketua Pemuda Negara Negeri Johor, Sdr. Saiful Bahari yang juga Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Parlimen Johor Bahru.

Yayasan Setia Negara Malaysia juga telah menyampaikan bantuan sejumlah RM 10,000 hasil kutipan Tabung Misi Bantuan Banjir Setia Negara kepada penduduk Kampung Laut Batu 10 yang diterima oleh En Suhaimi selaku Ketua Kampung. Semoga pemberian sumbangan ini dapat meringankan bebanan para penduduk untuk bangkit semula daripada musibah banjir ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada Pemuda Negara Negeri Selangor – Rasmi, Pemuda Negara Negeri Johor-Rasmi, Wanita Muda Negara & Penggerak Komuniti Negara Johor Bahru – Rasmi & Pulai yang sudi turun padang ke misi bantuan pada hari ini.