Kongsi Nikmat

KUALA LUMPUR, 1 MEI 2021 – Yayasan Setia Negara Malaysia (YASENM) julung kalinya menganjurkan Program Kongsi Nikmat bersempena Ramadan 2021 bagi meraikan golongan gelandangan bertempat di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

Tujuan utama program Kongsi Nikmat ialah menjiwai semangat Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan dengan mengalakkan aktiviti kemasyarakatan. Di samping membantu golongan yang kurang bernasib baik serta merapatkan silaturahim sesama insan sempena bulan yang mulia ini. Program ini melibatkan seramai 100 orang sukarelawan daripada pelbagai latar belakang dan kaum antaranya ialah pelajar universiti, profesional muda dan kumpulan ‘influencer’ media sosial.

Dari segi penerima bantuan, seramai 400 orang gelandangan yang terdiri daripada empat kategori iaitu lelaki dewasa, perempuan dewasa, kanak-kanak & bayi. Selain sumbangan tunai oleh orang ramai, program Kongsi Nikmat turut mendapat tajaan daripada BP Healthcare, NOKO, Kelab MITI, Restoran Mallar Bistro, Restoran N97 Bangsar dan Papa Barbershop. Barangan sumbangan bagi lelaki dan wanita dewasa adalah set bekalan makanan kering seperti roti, biskut, minuman 3 dalam 1, set bekas makanan dan minuman, set penjagaan dan kebersihan diri, pelitup muka (facemask), set sanitasi dan set vitamin.

Bagi penerima kanak-kanak dan bayi pula akan menerima sumbangan seperti pampers, susu formula, set bekas makanan dan minuman, set penjagaan kebersihan diri, set mewarna, set vitamin dan makanan kering. Program ini telah mendapat kebenaran dan ketetapan SOP dari pihak Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican juga turut menyokong program ini dengan mengiktiraf Sijil Penghargaan buat semua sukarelawan dan penaja yang telah menyumbang bakti menjayakan program ini.
Bagi mengekang penularan wabak Covid-19, selain menetapkan SOP yang ketat, sesi pengagihan dilaksanakan secara berperingkat. Penerima akan menerima kupon yang telah diedarkan sehari sebelum program dan perlu hadir ke Pusat Gelandangan mengikut masa yang ditetapkan seperti yang tentera di kupon.

Pengerusi YASENM, YB Dr. Afif bin Bahardin berharap agar lebih ramai individu dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu warga gelandangan dengan memberikan bantuan bukan sahaja dari makanan, namun sokongan moral untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah dihadapi golongan terbabit. Turut hadir adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Seri Hj. Mahadi bin Che Ngah.